Monday, June 2, 2014

Bosan sangat ke Sejarah???

I like history! Tapi takdelah sampai ingat fakta-fakta sejarah tu. Masa zaman sekolah dulu, markah sejarah agak, Alhamdulillah. Takdelah tinggi, cukup-cukup makan bolehla. Bahasa Melayu aku ada gak kadang-kadang tak dapat A. Tapi, subjek Sejarah, Alhamdulillah. Pernah aku terbaca dalam buku Motivasi Alihan Pelajar tulisan Dr. Tg. Asmadi, antara sebab pelajar meminati sesuatu subjek adalah jika dia sentiasa mendapat markah cemerlang dalam subjek demikian. Pelajar yang tidak meminati pelajaran pula, antaranya adalah disebabkan dia tidak faham apa yang diajar gurunya. Betullah apa yang Dr. cakap tu. Aku minat sejarah sebab selalu dapat A, walaupun sekadar markah cukup-cukup makan untuk melayakkan aku mendapat A. Bila exam, aku takdelah hafal dari kulit ke kulit. Tapi bila aku dah baca satu-satu topik, rasa nak ajar kawan membuak-buak. Sejarah je. 

     Subjek lain, Matematik? Jangan haraplah. Begitu juga dengan kenyataan Dr. memang aku tak minat Matematik sebab tak faham apa yang cikgu ajarkan. Matematik, faham pun tak. Apatah lagi nak ajar orang.  Subjek yang tak diminati sejak sekolah rendah. Ingat lagi masa cikgu ajar tajuk bundar, akulah antara yang paling lambat faham. Hurm.. Exam daripada tingkatan 1 hingga tingkatan 3, tak pernah dapat A. Alhamdulillah masa PMR, dapat gak A. Masa upper form pun, tingkatan 4,5 modern mathematics tak pernah tak dapat C, haha. Nasib baik Cikgu Zahinah ‘basuh’ aku lepas percubaan SPM tu, sempat kejar. Alhamdulillah dapat A-. Terima kasih cikgu. Juga kawan-kawanku yang sabar mengajar. Shazlina, Anis, Mardhiah, Syer, Epa, Dilah Mona. Mengantuk memanjang masa subjek Maths takyah cakapla. Betapa bila tak minat, itulah. Padahalnya,bila aku dah faham konsep, baru aku sedar senang je sebenarnya, asyik pulak buat latihan. Syok gak maths ni!

      Betullah pepatah Melayu, nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Padahalnya boleh sangat dapat A, aku je yang tak bersungguh-sungguh, tak usaha. Penuh dengan cas negative dalam minda. Maths susahlah, tak best, benci Maths. Puncanya aku rasa, antaranya sebab aku tak faham konsep. Bila aku tak faham aku takut nak tanya cikgu. Sebab pernah kena marah dengan cikgu. Mungkin bagi cikgu, soalan aku tu soalan bodoh, orang lain semua dah faham, aku tak faham-faham lagi. Masa tu, mungkin lambat dapat ‘catch up.’ Start daripada tulah, aku dah berubah. Zaman sekolah rendah aku tak faham terus tanya. Tapi, zaman sekolah menengah, aku dah tak berani nak tanya cikgu. Disebabkan tak faham, bila dah bertangguh, belajar pulak topik baru lagilah tak faham. Lama-lama, dah frust sebab semua tak faham. Itulah antara punca aku tak pernah dapat A. Dekat-dekat exam sebenar, aku paksa minda aku pulun. Tak faham pun aku cakap faham. Maths best, senang. Alhamdulillah. Dapat merasa gak A. Time exam besar, pulun2. Sampai sekarang otak aku tak cenderung ke arah Maths dan mak nenek, cucu cicitnya. Serasa  aku cenderung ke arah otak kanan berbanding otak kiri. Harap-harapla suami aku nanti minat matematik, moga anak-anakku nanti tak warisi aku, tapi warisi ayahnya. Haha. Nak belajar Maths, belajar dengan ayahnya.

     Sambung pasal sejarah tadi. Aku suka tengok dokumentari atau rancangan yang berunsur sejarah. Sesetengah orang boring. Aku takdelah ingat semua fakta sejarah yang aku dapat tu. Buku-buku berunsur sejarah pun aku suka. Alhamdulillah, Ayah jugalah yang memupuk minat sejarah dalam diri aku. Ayah selalu menceritakan sejarah-sejarah lalu kepadaku dan adik-beradik. Ayah cerita apa yang berlaku zaman pasca kemerdekaan dahulu, apa yang Ayah lalui, rakyat2 lalui. Apa yang berlaku semasa Tragedi Berdarah 13 Mei 1969 dan macam-macam lagi. Ayah selalu pesan, jangan kerana tamakkan harta, tanah pusaka tergadai hingga anak cucu tidak dapat nikmati. Di mana anak cucu kita akan tinggal nanti kalau habis tanah tergadai. Dan, kalau kita yang tak sayangkan bangsa kita, tiada yang akan membela nasib kita. Bangsa Arab dari dulu hingga sekarang menikmati  Tanah Arabnya, Bangsa Cina dengan empayarnya, bangsa Melayu? Jika kita tidak belajar daripada sejarah lalu, Melayu akan merempat di tanah air sendiri. Na’uzubillah.  Tika itu, masihkah Islam dapat menjadi agama utama? Dapat dipraktikkan dengan aman seperti hari ini?

     Suatu masa dulu, pernah aku terfikir untuk menjadi seorang sejarawan. Aku ingin meneroka sejarah-sejarah Islam dan membetulkan fakta sejarah yang salah, yang dicedok dari Barat. Contohnya, zaman prasejarah yang tidak wujud pun sebenarnya, zaman Paleolitik, Neolitik, Mesolitik, Logam. Manusia di zaman itu bercawat dan lain-lain. Semua itu tidak wujud, yang wujud hanyalah zaman-zaman Nabi. Bermula zaman Nabi Adam, manusia yang Allah ciptakan akal ini sudah bijaksana. Mana mungkin Nabi Adam hanya bercawat sahaja. Itu baru satu contoh. Aku masa mula-mula tahu yang semua tu tak wujud, aku memang kecewa sangat-sangat. Semangat nak belajar sejarah bagaikan direntap keluar daripada jiwaku. Aku rasa mcam bodohnya, aku belajar benda yang tak wujud pun. tapi, lama-lama, dah ok balik. Contoh yang lain pula, sudut pandangan sejarah oleh sejarawan Barat. Tok Janggut, pahlawan tanah air kita, yang mempertahankan, memperjuangkan hak rakyat tapi disebabkan beliau tidak mengikut telunjuk penjajah British, maka Tok Janggut dilabel sebagai pemberontak. Lihat sahaja mereka melabel Muslim pada hari ini sebagai pemberontak. Muslim, terrorist! Banyak lagilah yang bercanggah dengan kebenaran. Justeru, matlamat aku dahulu, aku ingin menjadi ahli sejarah bagi membetulkan fakta-fakta yang salah.

     Tapi, bidang aku di universiti sekarang bukan bidang sejarah. Masih aku ingat, semasa menghadiri ceramah oleh Ibu arwah Ahmad Ammar, mereka sangat menggalakkan Ammar menyambung pengajian dalam bidang sejarah. Walhal, Ammar cemerlang dalam subjek-subjek sains. Namun, Ammar menyambung pengajian dalam bidang sejarah di Universiti Marmara. Ayah dan Ibu Ammar berhasrat agar Ammar dapat menerokai rahsia-rahsia sejarah Islam di Turki yang masih belum tersingkap, untuk dikongsi dengan umat Islam,untuk mengembalikan semula kegemilangan Islam. Tika itu, barulah aku nampak dengan jelas, sumbangan yang dapat disumbangkan kepada masyarakat jika aku menjadi ahli sejarah. Pn. Azlina berpesan, agar belajar bersungguh-sungguh. Kemudian, galilah kembali sejarah-sejarah Islam. In sha Allah.

     Pernah juga aku bertanya, seorang motivator Cik Faridzul Nasaruddin, apakah sumbangan yang dapat aku sumbangkan untuk ummah jika aku menjadi ahli sejarah. Dan boleh ke aku jadi ahli sejarah? Memandangkan sekarang aku berada dalam bidang berbeza di institusi pengajian. Namun, dia juga berpesan agar aku belajar bersungguh-sungguh. Tak semestinya kita bekerja dalam bidang yang kita belajar. Contohnya Ustaz Shaari, seorang yang giat mendedahkan rahsia-rahsia di sebalik kejayaan Sultan Muhammad Al-Fateh. Beliau banyak menulis buku-buku tentang Penakluk Kota Konstantinopel itu, memberi ceramah atau motivasi tentang beliau. Well, we can say that he’s the expertise regarding Sultan Mehmet Al-Fateh’s matter.  Lepas Cik Faridzul bagi nasihat macam tu, aku rasa macam nak nangis. Sebab rasa mebuak-buak nak mengikut jejak langkah Ustaz Shaari. Itu baru cungkil satu ilmu sejarah Islam, tentang Sultan Muhammad Al-Fateh, tapi manfaat yang boleh digunakan oleh umat Islam setelah mengetahui kisah beliau amat besar.

Tentang sejarah kegemilangan kerajaan Melayu Melaka pula, juga di zaman kerajaan-kerjaan Melayu lain, jika kita susuri kembali, kita akan sedari yang di zaman itu, Islam hidup dengan subur dan mekar, Islam boleh dikatakan dipraktikkan secara menyeluruh.
  • Melaka sebagai pusat penyebaran Islam
  • Terdapat pusat pengajian ilmu tasawuf. Ahli tasawuf Melaka yang terkenal ialah Abdul Karim Al-Jili iaitu pengarang Kitab Insan al-Kamil.
  • Istana pula menjadi pusat menterjemah, menyadur, menyimpan kitab.
  • Pengajian al-Quran dijadikan asas sistem pendidikan.
  • Tulisan jawi digunakan dengan meluas, bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

  • Melaka menjadi pusat pertemuan antara ulama dengan pemerintah. Ulama yang datang sebagai pedagang dari Tanah Arab mengajar Sultan, pembesar, rakyat lalu dakwah Islam tersebar dari dalam hingga ke luar. 
  • Tentera upahan Jawa yang berkhidmat di Melaka menyebarkan dakwah apabila pulang ke tempat asal mereka. 
  • Pendakwah dari Melaka menyebarkan Islam hingga ke Pulau Jawa, Kalimantan, dan beberapa bahagian di selatan Filipina. 
  • Perkahwinan politik juga turut membuatkan Islam tersebar iaitu perkahwinan putera atau puteri sultan Melaka berkahwin dengan kerajaan lain

  • Ulama menasihati sultan dalam pentadbiran.
  • Konsep musyawarah diterapkan dalam pentadbiran.
  • Semasa pemerintahan Sultan Mansor Shah,  jajahan takluk Melaka semakin luas meliputi Pahang, Kelantan, Terengganu, Rakan, Inderagiri. 
  • Kebanyakan raja di negeri taklukan Melaka turut memeluk agama Islam bagi menjamin keselamatan dan menunjukkan taat setia kepada sultan Melaka. 
  • Rakyat-rakyat mengikut Sultan memeluk Islam. 
  • Sultan Alauddin Riayat Shah menghantar ahli-ahli agama ke negeri taklukan untuk mengajar raja dari Pahang, Inderagiri, Kampar.

  • Konsep devaraja yang mempunyai pengaruh Hindu pula di digantikan dengan konsep sultan. 
  • Gelaran raja ditukar kepada sultan. 
  • Sultan Muhammad Shah yang pertama menggunakan gelaran sultan.
  • Di waktu itu, undang-undang yang dipraktikkan adalah mengikut acuan Islam. 
  • Contohnya Undang-undang Syariah yang mempengaruhi Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka.
     Begitu hebatnya Islam di empayar Melaka itu. Kadang, hampir menitis air mata aku, mendambakan semua itu kembali wujud dan subur di Malaysia pada masa kini. Apabila diperhatikan kembali, apabila kita belajar sejarah. Kita ketahui yang penjajah Barat menjajah Asia Tenggara. Portugis dan British menjajah Tanah Melayu, Belanda menjajah Indonesia, Sepanyol menjajah Filipina, British menghadiahkan sebahagian tanah di Kelantan kepada kerajaan Siam(kawasan sekitar selatan Thai kini, termasuk Pattani, juga adalah pusat penyebaran Islam). Apa yang tiada dalam buku sejarah yang dapat kita sedari adalah, mereka ialah musuh-musuh Islam yang menjajah bumi-bumi yang subur dengan Islam, negeri yang sudah gemilang atau baru berkembang Islamnya, semua dijajah mereka, bagi menghancurkan Islam. Lihatlah kesan pasca penjajahan, Islam selepas era penjajahan di kesemua negeri-negeri ini,  sudah tidak seperti dahulu, malah Kristian makin berkembang dan kukuh.Banyak lagi ilmu-ilmu sejarah Islam yang memerlukan kita, untuk menggalinya kembali, mengorek kembali apa yang telah ditimbuskan oleh sejarawan Barat.

Antara koleksi sejarah Pak Latip yang kukumpul

     Satu lagi perkara yang menarik bagi aku. Semasa di tingkatan empat, aku sangat meminati buku-buku sejarah Islam karya  Pak Latip. Di dalam karya itu, tertulis tentang jatuhnya empayar Abasiyyah di Baghdad, yang menjadi pusat ilmu dan pusat pentadbiran pada akhir empayar itu. Terdapat perpustakaan yang menempatkan heterogen(banyak) khazanah ilmu daripada ilmuwan-ilmuwan Islam yang antaranya belum wujud di Eropah. Namun disebabkan pemimpin-pemimpin Islam yang sudah kemaruk dengan syurga dunia, akhirnya zaman Abasiyyah berakhir dan hanya tinggal sejarah. Tentera Mongol, antara yang menyerang telah menjahanamkan kesemua khazanah ilmu itu. Betapa banyaknya buku-buku yang dibuang mereka sehingga boleh dijadikan jambatan, air sungai berubah menjadi hitam dek dakwat-dakwat yang turun. Ilmu yang berguna itu terbuang begitu sahaja. Namun, ada juga yang mereka ambil dan menjualnya kepada Eropah.

     Dalam silibus sejarah tingkatan 4 pula, zaman gelap, zaman renaissance sangat menarik minat aku apabila aku perasan sesuatu daripada tajuk-tajuk itu yang mempunyai kaitan dengan kejatuhan Abasiyyah. Berdasarkan tarikh masa kejatuhan kerajaan Islam itu dan tarikh masa zaman gelap dan renaissance, pendapat aku yang dapat aku katakan…. Di masa kita gemilang dengan kerajaan Abasiyyah, dengan kota ilmu itu, Eropah mengalami zaman gelap, dipalit kemunduran, kekotoran. Selepas jatuhnya kerajaan Abasiyyah, terdapat satu tempoh yang agak lama , berates tahun, sebelum naiknya Eropah dengan Renaissance. Bagi aku, tempoh itulah antara waktu yang digunakan Barat untuk memanfaatkan buku-buku Ilmuwan Islam yang diambil daripada kerajaan Abasiyyah, menterjemah dari Bahasa Arab kepada bahasa mereka, membuang mana-mana bahagian yang mereka kehendaki dan akhir sekali apa sudah siap, mereka mendakwa merekalah yang menemui ilmu-ilmu itu.

     Tidak hairanlah pada hari ini, nama-nama pencipta teori-teori sains kebanyakannya dari Barat. Walhal, umum mengetahui hampir 90% lebih sebenarnya ilmu-ilmu sains dicetuskan oleh Ilmuwan Islam. Pernah aku dengar yang di zaman gelap itu, betapa teruknya keadaan sehingga tiada elektrik, tetapi pada waktu yang sama, umat Islam telah merasai cahaya-cahaya lampu di dalam bangunan mereka. Umat Islam yang terlebih dahulu maju. Namun, setelah ia direntap oleh Barat, kita masih belum dapat merasai kegemilangan Islam seperti yang berlaku suatu masa dulu sehingga kita memayungi dua per tiga dunia, kejayaan umat Islam yang tertangguh. Eropah yang bangun di zaman Renaissance itu adalah di zaman jatuhnya kerajaan Islam. Ini bukanlah fakta yang benar-benar tertulis oleh ahli sejarah, mungkin ada yang tidak benar. Cuma inilah pendapat aku, apa yang aku sedari beradasarkan pemerhatian aku setelah membaca buku Pak Latip dan buku sejarah tingkatan 4. Setelah aku menyedarinya, discover sendiri sejarah-sejarah silam itu, aku rasa seronok, gembira dan semakin minat Sejarah. I think there’re many more secrets that I can discover. If I really explore this field, that I can share with the ummah, to build up the ummah.

     Ada satu page kat facebook ni, sangat menarik- Lost Islamic History. From that page, we can discover a lot of Islamic History that we never know before. Link >> https://www.facebook.com/LostIslamicHistory

     Betullah orang kata, jangan belajar hanya kerana nak dapat jawab dalam peperiksaan. Belajar kerana ilmu tu, kerana Allah. Mungkin aku tidak dapat betul-betul belajar Matematik dengan matlamat yang betul, agak kesal di situ. Namun aku bersyukur aku dapat belajar Sejarah dengan matlamat yang betul. Bukan sebab periksa pun, aku masih mengambil tahu ilmu sejarah di luar silibus. Paling seronok, bila kita belajar dan dapat kaitkan dengan Islam. Seperti apa yang telah aku nyatakan di perenggan atas. Jika umurku panjang, jika diberi peluang, dengan izin Allah, akanku realisasikan hasratku suatu masa dulu dan memanfaatkannya untuk ummah. Aameen.

No comments:

Post a Comment